Hari ni birthday mak. Sepatutnya yang ke-59,tapi Tuhan menjemputnya pada umur 43 tahun. Aku hanya sempat bersama emak selama 13 tahun sahaja. Semasa hayat emak, aku menjadi observer dan peneman kepada aktiviti-aktiviti emak sebagai suri di rumah.
Tukang masak hebat
Masakan emak sangat superb. Apa ya masakan yg aku rindu. Tak terbilang banyaknya. Lauk pindang(bersama telur ikan), asam pedas, sinchuan, sotong masak hitam, masak lemak ketam, masak lemak cili padi, kari ayam, sup tulang, ikan sepat + nanas masak lemak, terung kari, sup petola + soohon, sup cendawan hitam + soohon + pucuk tauhu, rendang, sambal bali, ermm… apa lagi ya. Nanti aku update lagi.
Emak juga pandai buat kuih muih dan roti. Kami jarang beli roti canai di luar. Biasanya emak akan buat roti canai. Malam2 emak akan canai roti, panjangkan, pusingkan dan bulatkan mcm ulat gonggok, susun banyak2 dalam bekas dan tutup. Esok pagi2 emak akan goreng roti canai tu. Lauknya adalah kuah dhal. Emak juga pandai buat capati. Dengar-dengar mak belajar daripada jiran yang berbangsa India. Aku tak pasti siapa, sebab satu2nya jiran berbangsa India yang sempat aku kenal hanyalah keluarga Cikgu Sathasivam. Selain tu, mak juga pandai buat roti jala bersama kuah karinya. Nyum nyum! Kuih-kuih tradisional jangan cakaplah, emak memang pakarnya! Masih terasa2 di lidah dan tekakku kuih-muih buatan emak seperti wajik sirat, gadenggalo(serimuka), karipap sardin dan kentang, kuih bangkit, kuih talam, buah rotan, dan sebagainya. Oh ya. Untuk bezakan karipap kentang dan sardin, emak akan buat karipap sardin berbentuk macam bantal tu, yang hujungnya ditekan dengan sudu garfu. Boleh bayangkan tak? Ada satu lagi benda yang aku sangat rindu, epok-epok sayur! Inti epok-epok ni biasanya carrot dan taugeh, dan cicah dengan kuah sambal. Sedapnya!!!!!
Usrah dan events
Hari Rabu malam Khamis adalah hari yang kami tunggu-tunggu, terutamanya selepas maghrib. Kawan-kawan usrah ayah dalam 15 orang akan datang untuk berusrah(mcm study group ramai2 dalam bulatan/halaqah). Kami anak2 akan sibuk clearkan ruang tamu, tolak semua kerusi dan sofa segala, ke ruang tengah. Kerana di ruang tamu inilah majlis ilmu akan berlangsung. Kemudian kami bentangkan tikar plastik yg mcm selalu ada kat masjid tu, memenuhi ruang tamu. Emak akan bertungkus lumus di dapur, menyiapkan juadah. Bukan main sibuk lagi emak. Juadah yang disediakan emak lazimnya roti/mee dipasangkan dengan kuih muih. contoh juadah adalah roti jala & karipap, ataupun mi goreng & kuih gadenggalo. Juadah akan diletakkan dalam dulang bercorak(talam), dan biasanya ada 5-6 dulang. Sangat meriah seperti kenduri. Sementara anak-anak perempuan di dapur bersama emak, ayah akan kendalikan usrah selepas solat maghrib bersama kawan-kawannya. Anak-anak lelaki juga ikut berusrah sekali. Kami di dapur seronok makan hehheh. Selepas lebih sejam berusrah, ayah akan makan dengan kawan2 di ruang tamu tempat berusrah. Masa nilah anak-anak lelaki iaitu abang2ku akan bertugas sebagai waiter, mengambil dulang2 penuh juadah yang disediakan emak. Memang jelas terpancar wajah emak yang sangat puas hati dapat menjamu tetamu dengan makanan air tangannya. Adui, aku sangat rindu wajah gembira emak waktu itu. Selain itu, emak juga ada membuat nasi lemak dan kuih muih untuk dijual pada hari sukan sekolah ayah. Aku juga pernah menjual roti canai dan wajik sirat emak di sekolah. Bawa sorok-sorok dan letak dalam laci meja, kemudian beritahu pada kawan-kawan. Akhirnya sampai ke pengetahuan cikgu. Nasib baik cikgu pun nak beli! Ada sekali tu, aku offer pada cikgu sekolah agama sebelah petang supaya emakku memasak untuk jamuan perpisahan. Alhamdulillah emak dapat sediakan mi goreng untuk jamuan tu.
Tukang jahit
Selain hebat memasak, emak juga ada menjahit baju-baju kami, seperti baju kurung uniform sekolah, dan baju raya. memang kami tak pernah beli baju raya atau baju sekolah sepanjang emak ada, kecuali abang-abangku, kerana emak hanya menjahit baju perempuan. Sebab itu aku berasa sedikit kekok apabila kali pertama kami terpaksa menempah baju sekolah pada orang lain pada tahun pertama emak pergi. Untuk menambah duit poket, emak juga mengambil upah menjahit daripada jiran-jiran dan kawan-kawan. Emak pandai jahit baju kurung biasa dan kurung moden. Emak juga ada menjahit tilam kekabu, yang mana tilam itu dijahit bebeapa jalur melintang dan disumbat kekabu di setiap tengah jalur. Oleh itu, tilam itu mudah digulung seperti kuih gulung dan mudah disimpan di bawah katil ketika tidak dipakai. Adui susah juga nak explain. Oh ya, aku masih simpan dan guna mesin jahit emak yang digunakan sejak dulu lagi. inilah mesin yang telah berbakti dan menjadi peneman emak.

Aku masih ingat kerusi rotan emak tempat favourite mak menjahit tulang belut leher baju kurung. Mak akan berlunjur kaki pada satu stool dan menjahit beralaskan sebiji batal kecil pada ribanya. Aku pula akan mencabut uban mak sambil dengar nasihat-nasihat emak. Sudahlah anak aku tak bagi aku tulis entry ni panjang2, sejak tadi dia memaut2 aku. Yang pastinya aku merindui bayangan mak. Tak mungkin ada galang ganti. She is my inspiration of becoming a woman who takes care of her family with her own hands. If she is still around, I would like to know what’s her opinion on my current life. I would like to ask her for advises, because I am facing many tough obstacles n tests by just being a woman in akhir zaman. Mak, I love u and always do. I hope we will gather together happily in Jannah. See you soon. Know that I will always pray for u. Happy birthday, mak!